Friday, December 4, 2009

Ulasan Album To Prevent The Earth From Moving With You (Disagree)



Album:
To Prevent The Earth From Moving With You

Kumpulan:
Disagree

Genre:
Modern Rock

Diskografi:
Homemade Jam (2001)
At The End Of The Day (2003)

Ulasan:
Setelah hampir tujuh tahun menyepi, Disagree yang dianggotai Zahid Yon, Hamkanuddin, Aziz dan David kini muncul semula di peta rock tempatan yang telah banyak melalui perubahan.

Dengan suasana ‘indie’ berikutan fenomena Hujan, Meet Uncle Hussain dan Bunkface di arus perdana, di tambah pula dengan generasi pendengar yang baru, kelainan ini pasti kekok buat Disagree. Disagree sendiri pernah menjadi fenomena beberapa tahun dulu dengan keluaran bunyi ‘modern rock’ mereka yang dianggap bertaraf antarabangsa.

Walaupun kagum dengan kulit album baru ini pada mulanya, ‘To Prevent The Earth From Moving With You’ (diterjemaahkan kepada ‘Sekadar Menghalang Bumi Bergerak Dengan Kita’) jelas menampilkan sebuah band yang tidak seyakin dahulu dan tidak berapa pasti halatuju mereka. Disagree ibarat katak bawah tempurung yang silau pabila keluar menghadapi sinar matahari dan karya mereka seperti sudah sedikit ketinggalan.

Payah untuk mencari lagu yang benar-benar melekat ataupun menunjukkan dimensi baru daripada Disagree. Lagu “Haley” dan single utama, “Osaka”, sedikit mencuri perhatian disebabkan beberapa pembaharuan yang ketara: tiada lagi kedengaran baritone ala grunge Zahid yang pernah menerima kritikan dahulu, permainan dram Hamka yang banyak bersandar ke arah elektronika, dan juga permainan gitar gitaris baru, David.

Penukaran suara Zahid walaupun tidaklah drastik, namun hasilnya positif – tidak lagi dengan teknik Eddie Vedder yang ketara, sebaliknya yang disimpan adalah kemanisan nada Dave Matthews yang tidak keterlaluan. Tetapi lagu “Hero” di tengah-tengah album menyaksikan Zahid kembali ke teknik lama itu.

Sebagai pendengar, terasa kurang kuat lagu-lagu Disagree berbanding album pertama (yang mengandungi tujuh atau lapan lagu yang menonjol antaranya “Crumbs”, “Stay”, “Suicide Note”, “GC”, “The Enemy” dan beberapa lagi) walaupun kini lebih matang dan lebih bertekstur persembahan muzik mereka.

Dari segi kandungan lirik, walaupun jelas ditulis berpandukan ceritera seorang watak budak kecil (yang membintangi muka depan dan belah dalam kulit album), tidaklah hebat menjangkaui apa yang telah diterokai pada album ‘At The End Of The Day’ dahulu. Kesemua lagu di sini – 12 kesemuanya – lebih kurang se-fesyen saja, dengan perubahan ‘mood’ yang jarang berlaku.

Namun wajar diberi kredit sepenuhnya terhadap persembahan produk Disagree, daripada produksi muzik hingga ke kulit album (yang mencecah tahap antarabangsa) – Disagree dari dahulu memang menjaga kualiti mereka dengan rapi, walau bagaimana sekali pun hambar karya mereka.

Satu lagi bintang juga buat kekuatan prinsip Disagree, yang masih tidak “mengalah” dengan suasana semasa band di Malaysia iaitu untuk meluahkan lirik di dalam bahasa Malaysia: mereka bermula berbelas tahun dahulu dengan luahan bahasa Inggeris dan mereka akan berakhir dengan sedemikian.

Tak Setuju? Fakta Terkini Disagree:
• ‘To Prevent The Earth...’ mula dirakam dari lewat tahun 2006 sehingga pertengahan tahun ini di “sebuah apartmen, sebuah rumah korner lot dan kemudiannya di dalam sebuah rumah rahsia di atas bukit.”

• Album ini telah mendapat sentuhan mastering daripada Howie Weinberg di studio Masterdisk, New York, Amerika.

• Penerbit dan pemuzik veteran tempatan, Luke Mason, juga terlibat sebagai penerbit dengan sumbangan vokal tambahan, lagu tambahan dan juga penerbitan lagu “Haley”, sebuah lagu istimewa buat Zahid.

• Lagu “Cold Day December” menerima sentuhan saksofon Kevin Choo, pemain sama yang menyumbangkan instrumen itu untuk lagu “Crumbs”.

• Seni kulit bertema ‘To Prevent The Earth...’ diilustrasi oleh Sarah Joan Mokhtar, seorang artis muda yang cukup berbakat.

• David yang buat pertama kali merakam bersama Disagree merupakan pengganti buat gitaris asal, Ashroff, yang kini bersama kugiran Stonebay.

• Album ini mengambil masa sebanyak 44 minit 48 saat untuk didengarkan.

Sumber: gua.com.my

No comments:

Post a Comment